Wednesday, June 18, 2008

Melayu Akan Mengemis Di Bumi Sendiri? (Part III)


Hakikat di dunia ini sekarang yang biasa kita dengar dari dulu pepatah ini , “Yang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin akan menjadi bertambah miskin”. Jangan kita lupa dan buat-buat lupa mengenai status kaya dan miskin ini. Bezanya hanyalah harta ataupun wang yang dimiliki oleh seseorang itu. Harta dan wang inilah yang menjadi jurang dan perbezaan manusia di bumi ini. Jika mereka mempunyai harta dan wang yang banyak ini maka apa bendapun mereka akan dapat. Hendak berniaga mereka boleh, hendak membeli rumah besar atau tanah mereka juga boleh, hendak hantar anak ke sekolah yang lebih baik mereka juga boleh. Hendak beli negara juga mungkin mereka boleh. Bagaimana nasib mereka yang miskin ini? Apa yang mampu mereka buat. Ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kerja siang dan malam dan kemudian menunggu gaji diakhir bulan. Malah wang yang mereka dapat inipun tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan mereka.

Bagi yang terlalu miskin, walaupun terdapat bantuan kerajaan terhadap mereka, namun bantuan itu hanyalah dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan sememangnya mereka sentiasa mengharapkan beberapa bantuan lain untuk meneruskan sisa-sisa hidup ini. Jika tiada mereka-mereka ini akan dihantar ke Pusat Kebajikan ataupun rumah orang tua-tua.

Jika melayu hari ini masih leka dan masih tidak sedar akan perkembangan orang melayu itu sendiri nescaya seperti tajuk saya diatas iaitu “Melayu Menjadi Pengemis Di negara Sendiri” akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Dan mungkin sekali lagi melayu akan dijajah tetapi bukan melalu peperangan. Jajahan cara baru yang digunakan ini adalah melalui pengusaan ekonomi, politik dan sosial. Kesan dari jajahan cara baru inilah yang akan menyebabkan “Melayu akan hilang di dunia” jika kita tidak besungguh-sungguh mempertahankan Institusi Melayu ini.

Sebagai contoh, dari sebelum merdeka hinggalah selepas merdeka ini secara perlahan-lahan dan tanpa kita sedar perkataan melayu itu sendiri sudah di hilangkan dan digantikan dengan perkataan yang lebih liberal dan adil kepada semua kaum. Bukankah Malaysia dahulunya dikenali sebagai “Tanah Melayu” . Bukankah Utusan Malaysia hari ini dahulunya dikenali sebagai “Utusan Melayu”. Bank Bumiputra menjadi Bank of Commerce seterusnya dikenali sebagai CIMB hari ini. Mana perginya perkataan “Melayu” itu. Mungkin tidak lama lagi sebuah parti politik melayu yang begitu gah dan begitu perkasa hari ini iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ataupun UMNO juga akan hilang ataupun pupus buat selama-lamanya akibat kekalahan buruk mereka pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) yang lepas dan kelemahan para pemimpin yang ada pada hari ini. Dan mungkinkah selepas ini ia akan digantikan dengan Parti Keadilan Rakyat ataupun KEADILAN. Yang mana pemimpinnya berkata mereka bakal membentuk Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi. Adakah ini akan terjadi? Sama-sama kita fikir baik dan buruknya peristiwa ini nanti.

Inilah hakikat nasib melayu hari ini. Bagi saya memang sepatutnya melayu berbeza pendapat sesama mereka baik dari segi politiknya di negara ini, malah bangsa asing dan manusia di dunia ini juga berbeza pendapat masing-masing. Tetapi orang melayu mesti mempunyai pendapat yang sama bagi memperjuangkan hak dan menentukan nasib orang melayu supaya menjadi bangsa yang maju, berjaya dan setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini pada masa akan datang terutamanya di tanahair sendiri.

Saya meminta maaf kepada mereka yang tersinggung dengan tulisan saya ini. Jika kenyataan saya ini terdapat kesalahan sila betulkan saya. Bukan niat saya untuk merendah-rendahkan martabat dan maruah bangsa saya sendiri. Dan juga tidak terlintas difikiran saya untuk membakar api kebencian orang melayu kepada bangsa lain dan sebaliknya. Saya menulis ini hanyalah sekadar untuk kita ingat-mengingati langkah dan hala tuju bangsa kita sebelum ini dan untuk seterusnya. Ianya juga adalah peringatan untuk diri saya sendiri khususnya orang melayu serta tanggungjawab bersama bagi memajukan bangsa kita sendiri. Saya yakin jika semua bangsa melayu di negara kita hari ini bersatu padu memperjuangkan serta mengubah daya dan tahap pemikiran yang ada pada kita hari ini, nescaya bangsa melayu akan menjadi bangsa yang mampu berdiri tegak dan sama tinggi disamping bangsa-bangsa lain yang maju yang ada di negara kita ini mahupun dunia luar. Dan yang pentingnya sebagai orang melayu dan juga beragama islam kita patut ingat dan tahu bahawasanya “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) itu melainkan kaum (bangsa) itu sendiri mengubah nasibnya”. Ayuhlah kita sama-sama memikirkan dan membantu orang-orang melayu lain yang ada di negara kita ini supaya mereka juga berjaya dan maju kehadapan tanpa meninggalkan mereka yang lemah ini dibelakang kita. Disamping itu kita juga tidak menidakkan hak bangsa lain di bumi bertuah ini. Kita juga mesti hormat-menghormati sesama kita tidak mengira pangkat, agama dan bangsa. Mereka ini boleh dijadikan kawan serta lawan untuk menaiktaraf kehidupan orang melayu hari ini.

Sekian.

Yang Jujur Lagi Ikhlas,

Hamba Allah
Selangor Darul Ehsan

0 comments: